SAUDARA PENGARANG,
MERUJUK ruangan Cuit tulisan Datuk Zaini Hassan bertajuk Insaflah Utusan jika mahu terus hidup pada 7 November lalu, timbul pelbagai persoalan dalam pemikiran saya.
Mukadimah tulisan beliau menyatakan Utusan sudah buat silap selama ini. Saya terkedu. Apa silap Utusan? Apakah kerana Utusan dimiliki UMNO maka dikatakan kesilapan?
Apakah Utusan akan mati sekiranya masih bersama UMNO? Apabila disebut UMNO pasti tidak dapat dipisahkan dengan survival orang Melayu, parti ‘keramat’ yang memerintah lebih 60 tahun, barangkali selama itulah Utusan ‘bertuankan’ UMNO.
Tapi malang, sekarang ini UMNO telah kehilangan kuasa. UMNO ibarat ‘ranting’ yang rapuh, ‘kapal’ yang bocor. Seolah-olah UMNO bukan lagi tempat orang Melayu bergantung harap.
Pada pandangan Zaini, wajarlah sekarang ini Utusan menyeru orang Melayu berpaut pada ranting baharu dan berhijrah ke kapal lain yang lebih kukuh.
Persoalannya, di manakah orang Melayu hendak mendapatkan ‘ranting dan kapal’ yang dimaksudkan itu? Yang ada sekarang hanyalah ranting patah yang disambung semula dan kapal bocor yang ditampal kembali.
Kuasa yang terbentuk bukan kerana kekuatan Melayu. Melayu berkuasa atas ‘bahtera’ orang lain. Melayu berkuasa semata-mata melunaskan permintaan sekutu politik.
Untuk merungkai persoalan di atas, saya berpendapat lebih baik orang Melayu kembali bersatu dan bernaung di bawah ‘pohon’ yang asal. Kalau ada ranting yang reput, kita cari dahan baharu yang lebih kuat.
Kalau kapal sudah bocor, bersamalah kita bina kapal baharu yang lebih cantik. Untuk mencapai maksud itu, Utusan perlulah sama-sama berjuang sebagaimana 60 tahun dahulu.
Janganlah apabila UMNO sudah hilang kuasa mahu mencari tuan baharu. Utusan sudah menjangkau 80 tahun usianya. Apakah wajar diubah tradisi perjuangannya gara-gara peralihan kuasa?
Kuasa silih berganti. Perjuangan tiada noktahnya. Orang Melayu masih memerlukan UMNO. UMNO masih mengharapkan Utusan. Melayu, UMNO dan Utusan ibarat ‘roh, jasad dan nyawa’.
Apakah tidak wajar hidup mati bersama? Kalau Utusan berkubur kerana UMNO, itu perjuangan. Kalau UMNO ditalqinkan kerana Melayu, itu pengkianatan. Tapi kalau semuanya mati kerana hilang semangat perjuangan, itu malapetaka.
Khabarnya Zaini akan meninggalkan Utusan hujung November ini setelah hampir tiga dekad bersama Utusan. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada saudara.
Walau sudah tidak lagi berada di meja pengarang, diharapkan terus menulis. Tentu ramai pembaca yang ‘dahagakan’ dakwat pena saudara. Tapi janganlah sinis kepada UMNO. Bersamalah memperjuangkan nasib anak bangsa kita.
NAZRI SHAM
Chenor, Pahang










