Mekanisme beri subsidi minyak dipersoal - Utusan Malaysia

Mekanisme beri subsidi minyak dipersoal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Nov. – Meka­nisme bagi pelaksanaan subsidi minyak bersasar yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2019 masih menjadi tanda ta­nya berikutan beberapa kekeliruan berke­naan kelayakan pe­neri­manya.

Setiausaha Agung Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Mohd. Rofaie Hamdan berkata, pihaknya berharap kerajaan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menentukan perimeter kende­raan dan individu yang layak menerima subsidi tersebut supaya ia tidak mengganggu operasi stesen minyak sebaik sahaja ia dijalankan kelak.

Katanya, kerajaan setakat ini belum memanggil pihak­nya bagi membincangkan mengenai mekanisme yang kini menjadi topik hangat itu.

“Kita sambut baik dasar baharu tersebut cuma kita tidak mahu akhirnya stesen minyak yang perlu jadi pelaksana dan menentukan kereta mana yang layak dan sebagainya.

“Kita tidak mahu nanti apabila ada yang menyalahgunakan subsidi itu, stesen minyak pula yang perlu memantau. Ini akan ganggu operasi dan melambatkan proses yang biasa kita jalankan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Mohd. Rofaie, pelaksanaan subsidi minyak bersasar itu juga diharapkan tidak akan membebankan kewangan stesen minyak.

Katanya, bayaran balik subsidi tersebut perlu dilakukan dalam masa yang singkat bagi memastikan pengusaha stesen minyak dapat melakukan pusingan modal bagi membeli minyak baharu.

“Sekiranya bayaran balik subsidi itu lambat, akan ganggu aliran tunai stesen minyak lebih-lebih lagi kita sekarang pun dalam keadaan terdesak dengan kos yang semakin tinggi.

“Kerajaan perlu ingat kita jual minyak pada asas komisen. Jadi saya berharap kerajaan dapat mencari jalan paling efektif supaya tidak mengganggu aliran tunai stesen minyak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN