KUALA LUMPUR 6 Nov. – Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic mengesahkan dia akan terus membimbing skuad Bos Gaurus untuk Liga Malaysia 2019 di sebalik sebelum ini menyatakan kesediaannya untuk kembali ke pangkuan Selangor yang pernah dibimbingnya.
Jurulatih dari Australia berumur 53 tahun itu mengakui bahawa Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) ada menyatakan hasrat untuk mengambilnya bagi membimbing pasukan Liga Super Selangor untuk musim akan datang tetapi dia kemudian mengubah fikiran selepas berbincang dengan keluarganya.
“Saya ingin berterima kasih kepada Raja Muda Selangor dan saya berbual mesra bersama baginda selepas perlawanan akhir Piala Malaysia, dan memang ya saya bersetuju untuk sertai Selangor, tetapi selepas menjelaskan semua situasi dengan keluarga saya, beliau memberi restu untuk saya terus bersama Perak dan saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih,” kata Durakovic kepada pemberita selepas majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018, di sini malam tadi.
Pada majlis itu, Durakovic dinamakan sebagai Jurulatih Terbaik.
“Saya pernah bersama pasukan Selangor selama 25 tahun, dan mereka seperti keluarga saya dan Insya-Allah, saya akan kembali kepada Selangor,” katanya.
Ketika bersama Selangor, Durakovic memenangi Piala Malaysia tiga kali sebagai pemain iaitu pada 1995, 1996 dan 1997 manakala pada 2015 sebagai jurulatih.
Durakovic menyatakan bahawa Perak telah bersiap siaga untuk menghadapi tugas berat pada pusingan kelayakan Liga Kejuaraan Asia 2019, tetapi yakin para pemain dapat memberikan yang terbaik dalam kejohanan itu.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan untuk memberi slot kelayakan ACL 2019 kepada Perak selepas Pahang gagal mengemukakan rayuan setelah dikenakan larangan selama dua tahun kerana membantah arahan FAM untuk mengambil bahagian dalam Piala AFC sebelum itu.










