IPOH 2 Nov. – Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu menafikan dakwaan bahawa keputusan menghentikan lantikan tokoh perniagaan, Koon Yew Yin sebagai seorang daripada Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negeri disebabkan campurtangan pihak istana negeri.
Menurutnya, keputusan tersebut adalah keputusan beliau sendiri sebagai Menteri Besar.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan tindakan Yew Yin membuat dakwaan yang sangat serius terhadap Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah kononnya berlaku rasuah dalam pengurniaan darjah kebesaran negeri Perak pada awal pemerintahan almarhum sebagai Sultan Perak.
Katanya, sebagai bekas Ketua Hakim Negara dan Yang di-Pertuan Agong, Almarhum Sultan Azlan sentiasa disanjung rakyat, sultan berjiwa rakyat dan meninggalkan legasi yang begitu besar kepada pembangunan negeri dan negara.
“Sebagai pentadbiran yang tegas dalam mempertahankan Perlembagaan dan institusi raja-raja Melayu yang memayungi rakyat jelata semua kaum dan agama, kerajaan negeri Pakatan Harapan memandang serius sebarang perbuatan yang menjatuhkan kredibiliti dan imej institusi diraja.
“Saya mendapati tindakan Yew Yin yang mencemar nama baik Almarhum Sultan Azlan dan institusi kesultanan Perak tidak dapat diterima dan dipertahankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Ahmad Faizal, ini diburukkan lagi dengan tindakan Yew Yin hari ini yang memuat naik status di laman sosial yang berbentuk andaian tanpa sebarang asas kononnya Sultan Nazrin Muizzuddin Shah cuba campur tangan dalam perlantikannya sebagai Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Perak.
“Justeru saya telah memutuskan untuk tidak meneruskan khidmat beliau Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Perak dan sekali lagi menegaskan bahawa tidak ada campur tangan pihak istana Perak dalam perkara ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










