SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan hari ini mengumumkan pelantikan tiga Timbalan Naib Canselor (TNC) Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang baharu berkuat kuasa pada bulan ini.
Mereka ialah Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Madya Dr. Mohd. Fozi Ali, Timbalan Naib Canselor (Jaringan industri, Komuniti, Alumni dan Keusahawanan), Prof. Datuk Dr. Rahmat Mohamad dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Mohd. Nazip Suratman.
Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said berkata, pelantikan jawatan Mohd. Fozi berkuat kuasa 1 November lalu sehingga 31 Oktober 2021 manakala Rahmat dan Mohd. Nazip pula esok sehingga 14 November 2021.
Menurutnya, jawatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) yang disandang Mohd. Fozi merupakan jawatan baharu yang diwujudkan bagi meningkatkan lagi kualiti prasarana yang lengkap dan kondusif dengan kapasiti sumber serta aset UiTM dalam mempersiapkan semua kampus menempuh era Revolusi Industri 4.0.
“Pihak universiti amat berbesar hati dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik atas pelantikan ketiga-tiga TNC yang baharu ini.
“Semoga dengan pelantikan ini, visi UiTM untuk menjadi sebuah universiti unggul yang cemerlang serta menerajui dinamisme bumiputera dalam semua bidang profesional di Malaysia dan antarabangsa akan menjadi kenyataan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Hassan berkata, pihaknya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ir Dr. Hj Abdul Rahman Omar dan Prof. Dr Zaini Abdullah, mantan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni) dalam memartabatkan UiTM sehingga menjadi antara Universiti Awam yang tersohor di Malaysia khususnya dan antarabangsa amnya. – K! ONLINE










