LAS VEGAS, Amerika Syarikat – Petinju Amerika Syarikat, Floyd Mayweather mengesahkan bahawa dia tidak pernah bersetuju untuk mengadakan pertarungan komersial bersama juara kickboxing dunia, Tenshin Nasukawa.
Mayweather sebelum ini dikhabarkan akan bertemu petinju dari Jepun itu dalam pertembungan hangat di Tokyo pada 31 Disember nanti, namun atlet berusia 41 tahun itu segera menafikannya melalui sosial media.
“Mula-mula sekali, saya mahu jelaskan bahawa saya, Floyd Mayweather tidak pernah bersetuju secara rasmi tentang perlawanan menentang Tenshin Nasukawa seperti yang digembar-gemburkan.
“Bahkan, saya akui tidak pernah dengar nama tersebut sehinggalah ketika lawatan saya ke Jepun baru-baru ini. Saya hanya diminta untuk beraksi pada perlawanan pertunjukan selama 90 minit bersama seorang lawan (Nasukawa).
“Ia menjadi pertarungan pertunjukan untuk sekumpulan kecil penonton yang terdiri daripada golongan kaya kerana bayaran tiketnya sangat mahal. Pertunjukan itu diatur semata-mata untuk tujuan hiburan tanpa sebarang aspek komersial atau siaran televisyen di seluruh dunia.
“Saya memohon maaf kerana maklumat itu sangat mengelirukan,” jelasnya. – Agensi










