PETALING JAYA 1 Nov. – Malayan Banking Bhd. (Maybank) menjangkakan transaksi perbankan mudah alihnya mencecah RM40 bilion menjelang hujung tahun ini, meningkat daripada RM25 bilion pada 2017.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, peningkatan itu disokong oleh permintaan transaksi tanpa tunai yang lebih tinggi, serta penerimaan sistem QRPay yang lebih baik.
“Kami menyasar untuk menarik sekurang-kurangnya 200,000 peniaga yang menawarkan pilihan pembayaran kod QR menjelang hujung tahun ini, daripada sebanyak 160,000 peniaga ketika ini sejak dilancarkan pada Januari lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran kerjasama antara Maybank dan KFC Malaysia bagi menyediakan pembayaran menggunakan Maybank QRPay di restoran KFC di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Urusan QSR Brands, Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil; Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap Pengerusi QSR Brands, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk John Chong.
Kerjasama tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kedua-dua syarikat bagi menawarkan lebih kemudahan kepada pelanggan, meningkatkan kecekapan serta memacu agenda negara ke arah pembayaran tanpa tunai.










