DUNGUN 12 Nov. – Mayat lelaki yang disyaki suspek kes pecah rumah yang terjatuh bersama seorang anggota polis yang mengejarnya di Sungai Paka berhampiran Kampung Durian Mentangau, dekat sini Jumaat lalu ditemukan pada pukul 11.30 pagi ini.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mayat lelaki yang dikenali sebagai Zul Ayam, 39, itu tersangkut pada timbunan ranting kayu di Sungai Paka dekat sini.
“Mayat lelaki itu berada pada kedudukan kira-kira 300 meter dari lokasi dia dan Konstabel Wan Mohd. Arif Wan Yahya dipercayai terjatuh dan hilang dibawa arus deras.
“Pengecaman awal termasuk menerusi pakaian mendapati mayat lelaki itu merupakan suspek berkenaan,” katanya di sini.
Baharudin berkata, mayat Zul Ayam dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk urusan pengesahan identiti dan dibedah siasat.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, gerakan untuk mencari seorang lagi mangsa, Konstabel Wan Mohd. Arif yang masih belum ditemui dipergiatkan.
“Selain teknik pencarian di permukaan sungai, pasukan mencari dan menyelamat melibatkan pelbagai agensi dan penduduk kampung turut menggunakan skuad penyelam dan anjing pengesan untuk menjejaknya di sekitar lokasi kejadian. – UTUSAN ONLINE











