KOTA KINABALU – Mayat seorang lelaki yang lengkap berpakaian ditemui terapung bersama sebuah beg sandang berisi batu di Sungai Sembulan, Kampung Sembulan di sini kelmarin.
Mayat lelaki tanpa identiti itu ditemui oleh orang awam kira-kira pukul 9.20 malam dalam keadaan terlentang sebelum kejadian itu dimaklumkan kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, berdasarkan pemeriksaan awal, mangsa berkemungkinan berusia lingkungan 40-an dan mempunyai tatu di lengan kiri dan kanan.
“Ketika ditemui, mayat lelaki itu lengkap memakai seluar panjang berwarna kelabu, baju-T putih berkolar serta beg sandang di belakang badan. “Pemeriksaan di dalam beg sandang berkenaan menemui seketul batu. Polis turut menemui kesan kecederaan pada muka lelaki itu,” katanya di sini semalam.
Habibi berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini untuk proses bedah siasat.
“Buat masa ini kita masih menyiasat identiti lelaki itu serta motif kejadian,” tambahnya.











