NINJA Malaysia, Mat Redho atau nama sebenarnya Mohd. Redha Razlan, 30, berjaya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa apabila menjuarai Ninja Challenge League (NCL) 2018 yang berlangsung di Perth, Australia kelmarin.
Bekas pemenang program Fear Factor Malaysia tersebut berjaya menewaskan dua lawannya iaitu Jake Murray dari Denver, Colorado, Amerika Syarikat yang menduduki tempat kedua dan peserta tempatan, Cameron D’Silva di tempat ketiga.
Mat Redho berjaya memperoleh tempat pertama dalam cabaran peringkat ketiga, sekali gus memenangi wang tunai AS$1,250 (RM5,213) bagi kategori Last Ninja Standing dan AS$1,250 (RM5,213) untuk kategori Last Man Standing.
Kejohanan tersebut disertai lebih 50 peserta tempatan selain 30 ninja terbaik dari Perth manakala 11 peserta antarabangsa dan pertandingan akhir tersebut merupakan yang terbesar serta berprestij setakat ini.
Menariknya, Mat Redho yang berjaya menaiki podium pertama dengan bangga mengibarkan Jalur Gemilang ketika menerima hadiah dan dia turut ditemani isteri serta anak-anaknya pada kejohanan tersebut.
“Tidak pernah aku lupa bawa kain Jalur Gemilang ke mana-mana, walaupun kecil tapi berat beban untuk digalas. Alhamdulillah podium,” tulis Mat Redho menerusi akaun Instagramnya.
Menerusi Instagramnya juga, Mat Redho meluahkan rasa bersyukur selain berterima kasih kepada isterinya yang sentiasa menemani dan memberi sokongan padu kepadanya ketika bersaing.
“Setakat ini saja yang saya mampu. Terima kasih kepada isteri yang selalu menemani dan menjerit sambil mendukung anak-anak kami.
“Kami ada tabung sendiri untuk ke luar negara, macam biasa kalau mahu bertanding ke luar negara pasti pecah tabung. Pada masa sama, saya tidak pernah putus asa cuba nasib untuk ditaja,” katanya.
Para peserta yang berjaya melayakkan diri pada final NCL 2018 secara automatik layak untuk bersaing pada National Ninja League World Championship di Amerika Syarikat pada 15 hingga 18 Februari 2019.










