KUALA TERENGGANU 11 Nov. – Mat Leh yang buat pertama kalinya dibawa menyertai pertandingan, dinobatkan sebagai Raja Sado Terengganu hari ini, dan gelaran yang disandang itu secara tidak langsung pasti melonjakkan nilai harganya di pasaran.
Pemilik Mat Leh, Mohamad Mazuki Yusof, 47, dari Kampung Pengkalan Arang, Kuala Nerus itu tentunya berbangga dengan kemenangan lembu jantan induk baka Charolais seberat 754 kilogram yang dipeliharanya sejak sembilan bulan lalu.
“Tak sangka pula rezeki berpihak kepada saya sebab saya masih baharu dalam bidang penternakan lembu baka ‘sado’ini. Saya terlibat dalam bidang ini pun disebabkan berkawan dengan para penternak dua tahun lalu,” katanya.
Kemenangan Mat Leh melayakkan Mohamad Mazuki membawa pulang hadiah seekor lembu, sijil penyertaan dan hamper.
Penyampaian hadiah bagi pertandingan anjuran Kelab Lembu Sado Terengganu di tapak Road to MAHA, Mardi Manir dekat sini disempurnakan oleh Timbalan pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri, Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Hilmi Harun.
Mohamad Mazuki memberitahu, dia mendapatkan Mat Leh dengan harga RM6,700 daripada seorang penternak di Bachok, Kelantan ketika ia berusia lapan bulan dan kini harga pasarannya mencecah RM15,000.
“Saya masih masih belum puas memelihara Mat Leh. Memang agak sayang untuk dijual tapi boleh rundinglah jika sesiapa yang berminat. Mungkin bila dah bergelar juara ini ia secara automatik jadi ‘bonus’ tambahan kepada Mat Leh,” katanya.
Selain Mat Leh yang kini berusia setahun lima bulan, Mohamad Mazuki yang bekerja sendiri juga mempunyai tiga ekor lembu lain iaitu tiga ekor lembu jantan induk dan seekor induk betina.
Tempat kedua dan ketiga bagi kategori Raja Sado dimenangi oleh ternakan milik Ahmad Ramli Mohd. Noor dan Mohd. Fauzi Abd Rahman dari Kampung Atas Tol Marang manakala Ratu Sado pula dimenangi oleh lembu milik Abdullah Ahmad dari Kampung Tok Jiring, Kuala Terengganu.
Putera dan Puteri Sado pula dimenangi oleh ternakan milik Talib Awang Besa dari Bidong, Setiu dan Ahmad Baharuddin Mohd Razi dari Kampung Durian Burung, Kuala Terengganu.
Secara keseluruhannya, sebanyak 53 ekor lembu dipertanding dan dipamerkan oleh para pemiliknya antaranya lembu daripada baka Limousin Blonde d’Aquitaine, Belgium Blue dan Angus dengan nilai keseluruhan RM647,100. – UTUSAN ONLINE










