KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Maszlee Malik dilaporkan bakal melepaskan jawatannya sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam masa terdekat.
Menurut pegawai khasnya, keputusan itu diambil selepas Maszlee mengambil pendapat daripada pelbagai pihak termasuk nasihat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Katanya, perletakan jawatan oleh Maszlee itu bukannya satu paksaan.
“Beliau menghormati pandangan semua pihak namun memerlukan sedikit masa dan tidak boleh melepaskan jawatan tersebut serta-merta.
“Hal tersebut kerana terdapat majlis konvokesyen dan mahu melaksanakan beberapa pembaharuan dalam pentadbiran UIAM seperti dikatakannya sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.
Terdahulu, Mahathir menyatakan kerajaan akan mengkaji semula pelantikan Maszlee yang dikritik sebagai bercanggah dengan inti pati manifesto Pakatan Harapan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Maszlee dilantik sebagai Presiden UIAM ketujuh awal September lalu dan mendapat tentangan banyak pihak termasuk pembangkang dan aktivis pelajar. – K! ONLINE










