Maszlee dinasihat letak jawatan Presiden UIAM dengan segera - Utusan Malaysia

Maszlee dinasihat letak jawatan Presiden UIAM dengan segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Maszlee Malik dinasihatkan supaya melepaskan jawatan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan segera, kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata. kerajaan dan parti telah membuat keputusan tersebut namun Ahli Parlimen Simpang Renggam itu meminta sedikit masa untuk berbuat demikian.

“Ini keputusan kerajaan dan juga parti, dan beliau tahu dan terima keputusan tersebut…atas sebab itu saya suka menasihatkan beliau untuk berbuat demikian secepat yang mungkin,” katanya mengulas kedudukan Maszlee sebagai Presiden UIAM yang dipersoalkan kelayakannya kerana memegang portfolio sebagai menteri Kabinet.

Memuatkan artikel berkaitan…

Muhyiddin berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-Undang (JPU) di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Sebelum ini, media memetik kenyataan pegawai khas Maszlee bahawa Maszlee akan melepaskan jawatan tersebut selepas menyelesaikan beberapa isu termasuk mencari pengganti.

Maszlee dilantik sebagai Presiden UIAM ketujuh selama tiga tahun pada September lepas setelah diperkenankan oleh Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Ahmad Shah. Beliau menggantikan Tan Sri Rais Yatim yang tamat kontrak pada Julai lepas.

Berhubung hasrat Mohd. Ali Baharom atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju untuk menyertai Bersatu, Muhyiddin berkata, parti itu mempunyai prinsip dan hanya menerima individu yang tidak memiliki rekod buruk.

“Orang kenal dia (Ali Tinju) bukan atas cerita yang bagus …tak kan orang macam itu kita nak terima masuk,” katanya.

Ditanya berkenaan sokongan terbuka wakil rakyat DAP terhadap Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Muhyiddin berkata, beliau tiada masalah mengenainya kerana keputusan akhir meratifikasi ICERD terletak kepada kerajaan.

“Kita tidak membataskan sesiapa daripada mengemukakan pandangan kerana pada akhirnya kerajaan yang akan membuat keputusan dan kami bertanggungjawab memutuskan yang terbaik untuk negara,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×