Maszlee cadang skim baucar buku penuntut IPT diteruskan - Utusan Malaysia

Maszlee cadang skim baucar buku penuntut IPT diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 10 Nov.- Kementerian Kewangan bersetuju dengan cadangan Kementerian Pendidikan supaya skim bantuan baucar buku bagi penuntut insitut pengajian tinggi (IPT) diteruskan.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, kementerian itu telah menyatakan persetujuan untuk melihat cadangan tersebut bagi membantu mengurangkan beban kewangan penuntut IPT.

“Saya telah membawa perkara ini dalam mesyuarat Kabinet yang berlangsung semalam iaitu mesyuarat pertama selepas Belanjawan 2019 dibentangkan pada 2 November lalu.

“Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga telah melahirkan pandangan bahawa bantuan seperti skim berkenaan perlu diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Maszlee turut mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan dan sokongan Perdana Menteri dalam mempertimbangkan cadangan tersebut demi membantu penuntut IPT.

“Kami berharap akan ada berita mengembirakan dalam waktu terdekat berhubung cadangan ini. 

“Seperti yang telah saya janjikan sebelum ini, saya akan memastikan kebajikan penuntut IPT dijaga dan skim baucar buku ini merupakan salah satu perjuangan saya untuk mereka,” katanya.-UTUSAN ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN