Maszlee akan perinci belanjawan - Utusan Malaysia

Maszlee akan perinci belanjawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 3 Nov. – Kementerian Pendidikan akan memaklumkan kepada umum perincian setiap inisiatif yang dilaksanakan daripada peruntukan Belanjawan 2019 terutama bantuan untuk golongan miskin berjumlah RM2.9 bilion.

Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, ke arah merea­lisasikan usaha tersebut, Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Dr. Mohd. Gazali Abas akan mengetuai jawatankuasa pelaksanaan 12 inisiatif Belanjawan Kementerian Pendidikan.

Maszlee Malik
MASZLEE MALIK

“Saya memberi arahan kepada Pe­ngurusan Tertinggi Kementerian Pendidikan supaya mengambil langkah-langkah strategik bagi melaksanakan kesemua inisiatif dengan berkesan.

“Jawatankuasa ini akan memberi laporan pelaksanaan dan kemajuan tindakan kepada saya dari semasa ke semasa,” kata­nya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, dalam pengumuman Belanjawan 2019, Kementerian Pendidikan menerima peruntukan terbesar daripada Kerajaan Persekutuan iaitu sebanyak RM60.2 bilion atau 19.1 peratus daripada keseluruhan peruntukan belanjawan.

Maszlee menyifatkan peruntukan terbesar itu sebagai satu amanah yang besar untuk merealisasikan komitmen Kerajaan Pusat dalam memenuhi harapan rakyat.

“Kementerian bersyukur kerana keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan sektor pendidikan negara dalam hasrat mencapai pendidikan berkualiti bagi semua peringkat rakyat negara ini,” katanya.

Beliau menyambut baik peruntukan RM206 juta bagi tujuan pembangunan dan penyediaan program latihan di politeknik dan kolej komuniti selain RM30 juta bagi program latihan industri.

Katanya, inisiatif potongan cukai bagi penyumbang kepada penyelenggaraan sekolah kerajaan dan universiti awam juga pengumuman yang menarik.

“Kementerian akan melaksanakan kese­mua inisiatif dengan penuh berhemah bersandarkan prinsip ke­telusan dan akauntabiliti supaya rakyat yang mele­takkan harapan ke atas kerajaan dan kementerian ini memperoleh manfaat,” kata­nya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN