KUALA LUMPUR 10 Nov. – Selepas bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz menyuarakan hasrat menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),beberapa wakil rakyat bebas dan bekas kepimpinan tertinggi UMNO dikhabarkan turut memberi bayangan untuk mengambil langkah yang sama.
Terbaru, Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun mengesahkan ditemui bekas Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Rina berkata, kali terakhir pertemuannya dengan Ahli Parlimen Masjid Tanah itu adalah pada bulan lalu selepas beberapa siri pertemuan diadakan secara peribadi.
Bagaimanapun, beliau menafikan pertemuan itu dibuat atas keinginan Mas Ermieyati menyertai Bersatu sebaliknya atas hubungan rakan.
“Kita ada berjumpa, berbincang tentang wanita, tentang kepentingan rakyat.
“Kita tunggu dan lihat sajalah. Bukan sahaja Mas Ermieyati, tetapi ada juga berjumpa dengan ahli-ahli Parlimen wanita (UMNO) yang lain. Mereka juga bawa isu mengenai rakyat di kawasan mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Parlimen Titiwangsa di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











