SEPANG 4 Nov. – Pelumba pasukan Del Conca Gresini, Jorge Martin dinobatkan juara dunia Moto3 musim ini selepas unggul di kedudukan pertama dalam perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini sebentar tadi. Pelumba dari Sepanyol itu mencatat masa terpantas 38 minit 34.799 (saat) dalam perlumbaan 17 pusingan, sekali gus membolehkannya mengumpul 240 mata untuk kedudukan teratas secara keseluruhan di Moto3 pada saingan GP kedua terakhir musim ini. Kejayaan sulung tersebut muncul pada musim keempatnya di Moto3, dengan pelumba berusia 20 tahun itu yang mengenakan jentera Honda akan dinaikkan pangkat bagi bersaing dalam kelas Moto2 tahun depan. Pada perlumbaan dalam cuaca sederhana panas itu menyaksikan Lorenzo Dalla Porta dari Leopard Racing menduduki tempat kedua setelah ketinggalan 3.556s di belakang Martin, diikuti rakan sepasukan Enea Bastianini ketiga (+3.757s). Sementara itu, pelumba negara Adam Norrodin dari Petronas Sprinta Racing berada di kedudukan ke-23 yang juga terakhir setelah menamatkan saingan 1:37.387s di belakang juara dunia tersebut. Adam yang bermula dari petak ‘pit lane’ selepas dikenakan hukuman ekoran berlumba dalam keadaan berbahaya sewaktu sesi kelayakan semalam, telah bekerja keras sebelum berada dalam kedudukan pungutan mata iaitu di tempat ke-13. Bagaimanapun ketika saingan berbaki dua pusingan untuk tamat, pelumba kelahiran Johor itu secara tiba-tiba hilang kawalan lalu terjatuh, tetapi berupaya bangkit menamatkan perlumbaan.- UTUSAN ONLINE










