KEMAMAN 14 Nov. – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kemaman menahan sebuah kapal pengangkut pasir yang berlabuh tanpa kebenaran berkira-kira 2.7 batu nautika tenggara muara Kuala Dungun, pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, pihaknya bertindak setelah menerima maklumat daripada Jabatan Laut Wilayah Timur berkaitan kapal Asia Star kelmarin.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati kapal tanpa muatan itu tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Laut untuk berlabuh.
“Terdapat 14 orang kru warga China berusia antara 22 hingga 59 tahun dalam kapal berdaftar di Panama itu yang berlepas dari Pasir Gudang Johor,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, tiga daripada kru kapal tersebut dibawa ke pejabat Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut.
” Kes disiasat di bawah Seksyen 49 1B (1) (I) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,” jelas beliau.
Beliau menegaskan, Pihak Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan kawalan bagi memastikan kepatuhan undang-undang dan keselamatan pengguna maritim di perairan negara sentiasa terjaga.-UTUSAN ONLINE











