JOHOR BAHRU 12 Nov. – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri ini dengan kerjasama Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) dan komuniti maritim setempat berjaya menyelamatkan seorang penyelam warga Singapura yang hanyut di Tanjung Pengelih, Kota Tinggi semalam.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim negeri, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata, mangsa, Mohd. Ismail Sulong, 52, yang hanyut pada kedudukan empat kilometer selatan Tanjung Pengelih ditemukan pukul 6.45 petang.
Beliau berkata, pihaknya memulakan operasi mencari dan menyelamat sejurus menerima maklumat yang disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Johor oleh LPJ.
“Bot Maritim Malaysia dari Pos Maritim Pengerang telah mengambil mangsa di Kapal JM Sutera 5. Ketika kejadian, Kapal JM Sutera 5 sedang bersauh dan mangsa dijumpai berada berhampiran lalu menarik mangsa naik ke kapal dengan selamat.
“Difahamkan ketika kejadian, mangsa yang merupakan pekerja syarikat di Singapura itu sedang melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan boya di perairan Singapura sebelum alat selam yang digunakan mengalami kerosakan sehingga mengakibatkan mangsa hanyut dibawa arus memasuki perairan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.
Sanifah berkata, mangsa telah dibawa ke sempadan perairan negara dan diserahkan kepada pihak berkuasa Singapura. – UTUSAN ONLINE











