Mansuh tol: mimpi atau realiti? - Utusan Malaysia

Mansuh tol: mimpi atau realiti?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBENTANGAN Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada Jumaat lalu tidak disentuh berhubung pemansuhan tol secara menyeluruh. Sebaliknya kerajaan hanya membekukan kenaikan bayaran tol di semua lebuh raya dalam bandar selain memansuhkan tol untuk pengguna motosikal sahaja di Jambatan Pertama dan Kedua di Pulau Pinang, serta Lebuhraya Laluan Kedua di Johor.

Jika dibandingkan belanjawan terakhir kerajaan BN bagi tahun ini, sebanyak empat tol dimansuhkan iaitu di Batu Tiga, Shah Alam; Sungai Rasau, Selangor; Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Eastern Dispersal Link, Johor. Pemansuhan ini melibatkan semua kelas kenderaan dan bukannya pengguna jalan raya terpilih sahaja.

Nampaknya, rakyat akan terus dibuai mimpi untuk menikmati lebuh raya tanpa tol di negara ini walaupun ia merupakan salah satu janji yang terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Pakatan Harapan (PH).

Tentunya, ini amat mengecewakan majoriti rakyat yang mungkin telah memberikan undi kepada PH kerana terpesona dengan janji itu.

Meskipun berkali-kali kerajaan BN terdahulu sentiasa mengingatkan rakyat bahawa janji seumpama itu bersifat populis, namun ia seolah-olah tidak dipedulikan.

Kos untuk menghapuskan kesemua konsesi tol jalan raya di negara ini turut didedahkan iaitu sehingga mencecah RM231 bilion, tetapi rakyat masih percaya ia boleh direalisasikan.

Mengambil kesempatan dengan ‘memahami’ denyut nadi rakyat itu, maka ia dijadikan modal utama PH untuk meraih undi rakyat. Kos pemansuhan tol itu dicanangkan hanya melibatkan RM25 bilion jauh lebih murah berbanding apa yang didedahkan kerajaan BN.

Namun, selepas lebih lima bulan berjaya mentadbir negara, janji itu dikatakan pula sukar dilaksanakan dan kos untuk pemansuhan tol itu melebihi anggaran perbelanjaan sebelum ini iaitu sehingga RM400 bilion.

Dalam isu ini, rakyat sebenarnya perlu sedar dan bersifat realistik kerana amat sukar untuk memansuhkan tol di semua lebuh raya di negara ini. Banyak implikasi akan berlaku jika ia mahu dilaksanakan. Ini kerana kerajaan mempunyai perjanjian dengan syarikat konsesi lebuh raya yang perlu dipatuhi.

Jika tol dimansuhkan sebelum perjanjian matang, maka pihak kerajaan perlu memberi pampasan mengikut terma perjanjian. Jika pampasan tidak dibuat, pihak syarikat boleh mengambil tindakan undang-undang. Ini merupakan bebanan kewangan yang tinggi kepada kerajaan.

Perkara itu turut diakui oleh Pengarah Pusat Inovasi Perancangan dan Pembangunan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Muhammad Zaly Shah yang berkata, sumber kewangan untuk bayaran pampasan mungkin melibatkan cukai yang dikutip kerajaan. Sedangkan wang untuk membayar pampasan itu sebaliknya boleh digunakan untuk aktiviti pembangunan baharu lain yang lebih bermanfaat.

“Perlu diingatkan sumber cukai datang daripada rakyat Malaysia termasuk yang tinggal di luar kawasan yang tidak ada laluan bertol tersebut, tetapi wang mereka digunakan untuk manfaat bagi segelintir pembayar cukai sahaja seolah-olah tidak adil untuk semua rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Zaly berkata, walaupun kerajaan berjaya membayar pampasan kepada syarikat-syarikat konsesi, namun ia sedikit sebanyak akan menjejaskan kedudukan kewangan pengendali tol tersebut. Ini kerana mereka telah membuat perancangan perniagaan berdasarkan kepada unjuran pendapatan yang diterima daripada hasil kutipan tol.

Pampasan yang diberikan oleh kerajaan, kata beliau, mungkin berbeza dengan jumlah unjuran pendapatan syarikat-syarikat konsesi ini. Perbezaan antara unjuran dan pampasan yang diterima adalah satu bentuk kerugian kewangan. Kerugian ini mungkin akan menyebabkan perancangan pengembangan atau pembangunan perniagaan mereka akan terbantut.

“Perlu diingatkan sesetengah syarikat konsesi telah mendapatkan pinjaman kewangan untuk membangunkan lebuh raya tol tersebut. Pinjaman ini perlu dibayar sepenuhnya sama ada kerajaan mengambil alih tol ataupun tidak. Implikasi kepada syarikat juga mungkin melibatkan pekerja kehilangan pekerjaan yang mana syarikat juga perlu menanggung kos pampasan kepada pekerja mereka,” katanya.

Jika hal berkaitan pampasan mungkin boleh diselesaikan secara one-off, isu lain yang akan timbul pula ialah melibatkan aspek penyelenggaraan lebuh raya. Jika sebelum ini ia ditanggung syarikat konsesi dengan dana yang diperoleh daripada hasil kutipan tol, kerajaan perlu mengambil alih tanggungan itu yang sekali gus bakal menambah beban kewangan kerajaan.

Walau bagaimanapun, Muhammad Zaly berpandangan, terdapat beberapa mekanisme yang boleh dilaksanakan untuk memastikan aspek penyelenggaraan lebuh raya tidak terjejas selepas pemansuhan tol. Antara langkah-langkahnya ialah:

Pertama, kerajaan perlu memberikan tanggungjawab penyelenggaraan kepada agensi kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) atau pun pihak berkuasa tempatan (PBT). Maka, kos penyelenggaraan akan dimasukkan ke dalam kos operasi tahunan agensi terbabit. Namun ia tetap melibatkan perbelanjaan kerajaan yang perlu disalurkan kepada agensi terlibat.

Kedua, kerajaan harus memberikan kontrak baharu kepada syarikat konsesi sedia ada untuk meneruskan aktiviti penyelenggaraan seperti sediakala.

Ketiga, kerajaan melantik kontraktor baharu dengan kontrak berbeza untuk mengambil alih kerja-kerja penyelenggaraan daripada syarikat konsesi semasa.

Keempat, kerajaan boleh menubuhkan syarikat kerjasama antara agensi kerajaan dengan syarikat swasta. Walau bagaimanapun, dalam apa kaedah sekali pun yang dipilih, aktiviti penyelenggaraan perlu diteruskan bagi memastikan kualiti jalan dan keselamatan pengguna.

Realitinya, kerajaan sebenarnya boleh memansuhkan tol sama ada secara berperingkat atau menyeluruh berdasarkan kuasa yang ada mengikut kaedah perundangan. Namun fantasinya, ia perlu bergantung kepada implikasi kewangan, tanggungjawab sosial, kelestarian alam sekitar dan kelangsungan perancangan pengangkutan bersepadu.

Selain itu, impak penghapusan tol bakal menjejaskan permintaan kepada penggunaan pengangkutan awam kerana rakyat akan lebih memilih untuk menggunakan kenderaan persendirian kerana kos perjalanan akan menurun. Ia sekali gus meranapkan matlamat kerajaan menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam selepas berbilion-bilion ringgit dilaburkan untuk tujuan itu.

Apa pun, sama ada ia satu realiti atau mimpi rakyat semata-mata, langkah pemansuhan tol bergantung kepada keputusan kerajaan untuk membuat pertimbangan sewajarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN