KUALA LUMPUR 14 Nov. – Keputusan Kabinet memansuhkan hukuman mati bagi 33 kesalahan di bawah lapan akta memerlukan kajian yang lebih terperinci dengan mengambil kira pelbagai faktor.
Pensyarah Kanan Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Muhammad Fathi Yusof berkata, kajian perlu dibuat ke atas satu persatu kesalahan di bawah pelbagai akta yang memperuntukkan hukuman mati bagi menilai sama ada wajar ataupun tidak.
“Kajian ini perlu menilai kadar serius sesuatu jenayah, kesan hukuman mati ke atas jenayah berkenaan, jumlah pesalah yang pernah dijatuhi hukuman mati di bawah kesalahan berkenaan dan pandangan agama mengenai kesesuaian sesuatu hukuman itu dengan kesalahan yang dilakukan.
“Selain itu, kategori mandatori bagi sesetengah hukuman mati juga perlu diteliti semula. Perlu dilihat adakah kategori yang menghadkan budi bicara hakim ini sesuai atau tidak dalam sistem perundangan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambah Muhammad Fathi, secara peribadi, beliau berpendapat sebahagian kesalahan wajar untuk dikekalkan hukuman mati.
“Misalnya bagi kesalahan membunuh dengan niat di bawah Kanun Keseksaan, hukuman mati wajar dikekalkan kerana ia berkaitan dengan pembelaan kepada keluarga si mati.
“Tanpa hukuman sebegini, mereka mungkin mempunyai rasa tidak puas dan tidak tenang dengan hukuman yang dijalankan. Lebih-lebih lagi jika pembunuhan itu dilakukan dengan kejam dan pesalah itu tiada rasa insaf,” katanya.
Jelasnya lagi, secara adil mereka yang membunuh layak untuk dihukum mati tambahan hukuman bagi kesalahan membunuh tersebut mampu menimbulkan kegerunan dan dapat menghalang mereka yang berniat untuk melakukan pembunuhan.
“Jika kerajaan ingin menambah baik hukuman bagi pembunuh, sepatutnya dilakukan dengan mewujudkan ruang dan kuasa kepada keluarga si mati untuk memilih sama ada mengekalkan hukuman mati atau sekadar menuntut pampasan atau memaafkan pembunuh sepenuhnya,” ujarnya.
Selain itu, katanya, hukuman mati bagi kesalahan berbentuk pemberontakan terhadap negara juga wajar dikekalkan.
“Di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan terdapat peruntukan hukuman mati bagi kesalahan ‘melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong’, iaitu kesalahan bagi mereka yang menggunakan kekerasan bagi menimbulkan kekacauan dan meruntuhkan kerajaan.
“Peruntukan undang-undang seperti ini wujud bagi memastikan keamanan dan ketenteraman sesebuah negara terjamin,” katanya.-UTUSAN ONLINE










