Mangsa kebakaran dipercayai dibunuh - Utusan Malaysia

Mangsa kebakaran dipercayai dibunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 3 Nov. – Seorang pemuda yang mayatnya ditemukan di bilik tidur rumah sewa­nya yang terbakar di Lorong Pandan Indah 1/3, Perumahan Pandah Indah di sini semalam dipercayai dibunuh oleh rakannya sendiri.

Mangsa, M. Suhairi A. Wahab, 35, pada mulanya disyaki maut akibat lemas pada pukul 10.30 malam itu namun siasatan polis mendapati dia mengalami kece­deraan di belakang kepala, hidung, pipi dan leher selain kesan terbakar di kiri badannya.

Terdahulu, selepas operasi memadamkan kebakaran oleh pasukan bomba dan penyelamat, mangsa ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tertimbus di bawah timbunan kain di atas tilam yang terbakar.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, mayat mang­sa yang bekerja sebagai kerani Pejabat Tanah dan Galian (PTG) ditemukan di dalam bilik utama rumah tersebut.

Menurutnya, siasatan di tempat kejadian mengesyaki terdapat unsur jenayah dan pasukan forensik bomba membantu mengenal pasti punca kebakaran.

“Berikutan itu, seorang pengawal kese­lamatan swasta ber­usia 34 tahun yang juga rakan serumah­nya ditahan. Suspek ditahan reman enam hari sehingga 8 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya di sini hari ini.

Mohamad Noor memberitahu, susulan itu, seorang lagi lelaki berusia 35 tahun yang juga rakan mangsa ditahan kira-kira pukul 4 petang ini bagi membantu siasatan dan pihak­nya sedang menyiasat motif kejadian.

Sementara itu, abang mangsa, Amir A. Wahab, 48, berharap individu yang terlibat segera dihadapkan ke muka pengadilan.

“Saya berharap pembunuh­nya mendapat hukuman setimpal dan kami sekeluarga yakin dengan kecekapan polis. Arwah masih bujang dan merupakan anak paling rapat dengan emak, Nek Wok Idris, 73,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN