JOHOR BAHRU 3 Nov. – Pelbagai usaha yang akan dilaksanakan kerajaan seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2019 semalam diyakini mampu mengukuhkan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) ke negara ini.
Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, belanjawan kali ini juga akan mempromosikan lagi asas-asas yang kondusif untuk menarik pelaburan.
“Secara keseluruhan, Belanjawan 2019 yang baharu diumumkan mencerminkan komitmen kuat kerajaan ke arah pertumbuhan dan kemapanan serta usaha itu dibuktikan dengan langkah-langkah yang berani dan berstruktur terhadap pembaharuan fiskal, terutamanya dalam bidang tadbir urus fiskal.
“Pada pandangan kami, FDI dan DDI akan terus kukuh dan kita percaya bahawa belanjawan ini akan mempromosikan lagi asas-asas yang kondusif untuk menarik pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kamaruzzaman berkata, belanjawan tersebut juga dilihat memberi tumpuan dalam usaha kerajaan mempercepatkan keupayaan tempatan dalam menerajui ekonomi digital dan penekanan terhadap pembinaan industri tempatan sebagai satu cara untuk meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan.
“Di peringkat domestik, peningkatan fokus dan mekanisme yang lebih berstruktur ke arah penyampaian terhadap rumah mampu milik pasti akan membantu pertumbuhan ekonomi bagi pasaran perumahan, dengan permintaan dan potensi pasaran dalam segmen harga rendah.
“Kami juga mengalu-alukan inisiatif untuk terus meningkatkan lagi sektor pelancongan kesihatan dan pembiayaan yang diperuntukan berikutan kadar pertumbuhan sektor ini secara agresif, iaitu sebanyak 25 peratus pada tahun 2019,” katanya.
Kamaruzzaman berkata, pengumuman mengenai pemansuhan tol motosikal di Lebuh Raya Laluan Kedua (LinKedua) di Gelang Patah, Iskandar Puteri turut disambut baik kerana bukan sahaja akan mengatasi masalah kesesakan di Tambak Johor, malah memberi kesan signifikan terhadap kesejahteraan, sosial dan ekonomi semua pengguna yang terlibat. – UTUSAN ONLINE










