Malaysian Tigers yakin menyerlah di India - Utusan Malaysia

Malaysian Tigers yakin menyerlah di India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SKUAD hoki lelaki negara melaungkan keyakinan mampu menamatkan sai­ngan dalam kelompok 10 terbaik pada Piala Dunia 2018 yang akan berlangsung di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India dari 28 November ini hingga 12 Disember depan.

Ketua jurulatih negara, Roelant Oltmans (gambar kecil) berkata, barisan skuad kebangsaan yang mantap mempunyai beberapa pemain kreatif dan berbakat bagi mencapai matlamat tersebut.

Bagaimanapun, tumpuan pertama pengendali kelahiran Belanda itu adalah meraih sekurang-kurangnya satu kemenangan dalam aksi peringkat kumpulan bagi menempah tempat ke pusingan kalah mati dalam penampilan kelapan Malaysia pada Piala Dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kemenangan itu bukannya sesuatu yang mudah apabila skuad Malaysian Tigers diundi dalam Kumpulan D yang dianggap ‘kumpulan maut’, terdiri daripada juara empat kali, Pakis­tan; juara tiga kali, Belanda dan juara dua kali, Jerman.

“Kedudukan 10 terbaik mampu dicapai tetapi ia juga sukar kerana kita perlu menewaskan beberapa pasukan hebat dunia. Jika kita mengalahkan satu pasukan dan mara ke pusingan kedua, kemungkinan besar kita akan berdepan Belgium, juga merupakan pasukan yang mantap.

“Namun, segalanya boleh berlaku pada pusingan kalah mati, seperti dilakukan Malaysia apabila menewaskan India dalam penentuan pukulan penalti pada (separuh akhir) Sukan Asia 2018.

“Prestasi kita semakin me­ningkat ke tahap tertinggi, permainan kita lebih kemas dan saya cukup tahu apabila menentang pasukan-pasukan Eropah,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.

Bekas jurulatih India dan Pakistan itu yang pernah mengecap gelaran Piala Dunia ketika membimbing pasukan wanita Belanda pada 1990 dan skuad lelaki Belanda pada 1998, me­ngakui barisan pemain Malaysia perlu tahu apabila berdepan pasukan lawan bagi mengelak dibolosi pada minit-minit akhir permainan, seperti terjadi sebelum ini, termasuk ketika Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Pasukan negara yang berada di ranking ke-12 dunia, akan memulakan kempen menentang pasukan di tempat keempat dunia, Belanda pada 1 Disember, diikuti Pakistan (ke-13 dunia) 5 Disember dan melengkapkan aksi peringkat kumpulan bertemu Jerman (keenam dunia) pada 9 Disember.

Mengikut format baharu kejohanan, juara setiap empat kumpulan akan mara ke suku akhir, manakala pasukan di tempat kedua dan ketiga perlu beraksi dalam pusingan kalah mati bagi menempah slot ke peringkat lapan pasukan terbaik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×