Malaysia suarakan kebimbangan berhubung perkembangan di Yemen - Utusan Malaysia

Malaysia suarakan kebimbangan berhubung perkembangan di Yemen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Malaysia menyuarakan kebimbangan berhubung konflik yang berterusan di Yemen, terutamanya keselamatan orang awam dan jumlah korban yang semakin meningkat dalam kalangan wanita serta kanak-kanak.

Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra) hari ini, Malaysia menggesa semua pihak agar bersetuju mengadakan gencatan senjata dalam tempoh 30 hari akan datang, berikutan rundingan pimpinan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang akan diadakan di Sweden.

Kenyataan itu menyebut Malaysia menyokong penuh gesaan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres agar semua pihak melibatkan diri dalam rundingan  secara jujur dan seterusnya menegaskan bahawa satu-satunya penyelesaian berpanjangan kepada krisis di Yemen adalah penyelesaian politik yang terangkum serta damai.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Malaysia menyatakan sokongan penuh terhadap usaha PBB dalam mencari penyelesaian politik untuk menamatkan konflik di Yemen,” kata Wisma Putra.

Kenyataan itu menyebut Malaysia menyertai komuniti antarabangsa dalam menggesa pihak yang berkaitan dengan konflik itu supaya segera mengelak daripada terus melakukan serangan bagi menghormati gencatan senjata itu dan membenarkan akses untuk penghantaran bantuan kemanusiaan.

Wisma Putra berkata, Malaysia juga menggesa pihak bertelagah supaya mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Semua pihak yang terlibat dalam konflik itu perlu mengambil langkah untuk melindungi kanak-kanak, orang ramai, dan harta awam serta membenarkan akses untuk penghantaran bantuan kemanusiaan kepada mereka yang amat memerlukan bantuan,” jelas kenyataan itu. – Bernama

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN