Malam Konsert Dekade Live In Kuala Lumpur 2018 yang dijanjikan dan ditunggu penuh ghairah oleh pencinta tegar Afgan akhirnya tiba pada 3 November lalu.
Dianjurkan oleh Nizra Production Sdn. Bhd., pemilik nama sebenar Afgansyah Reza itu, berjaya menghipnotis 2,500 peminatnya di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan persembahan seperti menelusuri lorong waktu di tahun 1990-an.
Hal ini kerana, Afgan mengisi penampilannya pada malam itu dengan fesyen 1990-an seperti kot dan kemeja besar serta berseluar slack. Dia juga mengaku jika muzik pada tahun tersebut memang cukup menginspirasinya dan itu menjadi pilihan untuk meraikan perjalanan kariernya selama satu dasawarsa sebagai anak seni pada konsert tersebut.
Benar, wajah kacak yang dimiliki Afgan menjadi salah satu sebab kenapa dia diminati peminat di Malaysia. Namun, hakikat yang harus diterima, penyanyi berlesung pipit itu juga berjaya meleburkan penikmat muzik dari pelbagai generasi menerusi lontaran vokalnya yang merdu. Malah, setiap lagu yang dinyanyikannya pada malam tersebut juga terdengar begitu dramatik dan penghayatannya yang dalam.
Penyanyi berusia 29 tahun itu, membuka penampilannya pada malam konsertnya dengan lagu Jalan Terus dan Rollercoaster yang diambil daripada album Sides. Kemudiannya, mengalir pula lagu Katakan, Love Again, Entah dan My Confession yang menyaksikan pendedahan Afgan tentang kisah cintanya.
Cinta pertama Afgan
Kata Afgan, lagu tersebut dihasilkan untuk cinta pertamanya. Cuma, ternyata Afgan tidak pernah menyatakan perasaannya kepada wanita itu sehingga dia berkahwin dan memiliki anak.
“Saya pernah menyukai seseorang sewaktu di bangku sekolah dahulu, tetapi dia sudah berkahwin dan memiliki anak.
“Tak apalah, jodoh pasti bertemu bukan? Siapa tahu jodoh saya mungkin berada di Malaysia?” katanya sambil disambut sorakan gamat daripada penonton.
Tidak sampai disitu, lagu Dia Dia Dia daripada album keduanya, The One juga ikut dihadirkan setelah My Confession. Disusuli dengan Count On Me, Kunci Hati dan Pesan Cinta daripada album L1ve to Love, Love to L1ve yang merupakan sebuah album studio ketiga Afgan.
Penyanyi yang dikatakan cukup ‘dekat’ dengan Datuk Rossa itu juga membuatkan penonton diselimuti rasa sedih apabila memanjatkan doa pada para korban pesawat Lion Air dan bencana alam di Donggala, Palu. Lalu, lagu Datuk Sheila Majid iaitu Ku Mohon mengalir di kotak suara Afgan sambil penonton menyanyi bersama.
Riuh penonton kembali bergema apabila Afgan menyanyikan lagu ‘berhantunya’, Jodoh Pasti Bertemu. Afgan sempat mengaminkan nyanyian peminatnya tatkala mereka melontar bait lirik, ‘jodoh pasti bertemu’.
Pemalu
Menganggap konsertnya pada malam itu begitu peribadi lebih-lebih lagi dengan kehadiran kedua-dua ibu-bapanya, penyanyi Indonesia berdarah Minangkabau itu juga mengatakan kedua-dua orang tuanya tidak pernah bising soal jodoh, namun dia sedar sudah tentu mereka ingin melihatnya cepat bertemu jodoh.
Kemudiannya, lagu-lagu hit Afgan yang lain mengalir satu per satu seperti X, Thinking About You, Ku Dengan Kau Dengan Dia serta single terbaharunya, Sudah.
Penyanyi itu turut menyampaikan lagu Heaven daripada album terbaharu Dekade selain menyampaikan lagu Remember The Time nyanyian, Michael Jackson dan Can We Talk dengan lenggok nyanyian tersendiri.
Afgan sempat berkongsi rahsia tentang dirinya ketika di bangku sekolah. Ternyata, dia seorang remaja yang pemalu dan kurang yakin diri.
Selain itu, kemunculan kumpulan popular Malaysia iaitu Ruffedge menerusi lagu I’ll Make Love To You diikuti lagu hit mereka, Bila Rindu, membuatkan dewan gamat dengan sorakan. Ternyata kumpulan Ruffedge berjaya memukau para hadirin dengan kelunakan vokal mereka yang tidak kurang hebatnya dengan Afgan.
Konsert berakhir kira-kira pukul 11.45 malam dengan lagu popular Afgan yang turut dinyanyikan bersama-sama peminat berjudul Panah Asmara, Bukan Cinta Biasa dan Terima Kasih Cinta. Ternyata, Afgan meninggalkan kesan yang manis buat para peminatnya pada malam berkenaan.
Berprestij
Dengan kekuatan vokal, set pentas yang direka khas, penataan cahaya pentas yang gah dengan sistem audio yang berprestij, Afgan mendendangkan 22 buah lagu popular di sepanjang karier seninya.
Dalam sebuah konsert, koreografi bukanlah hal yang asing buat Afgan. Namun, untuk konsertnya kali ini, bisa dibilang ia dan teman bandnya, The Gandarianz, tampil lebih dinamik daripada kebiasaannya.
Konsert 10 dekad Afgan itu juga berjaya menghimpunkan ribuan peminatnya di Malaysia, bahkan dari negara jiran seperti Singapura, Brunei dan Indonesia.
Konsert diserikan lagi dengan kehadiran Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman dan beberapa rakan artis Malaysia dan Indonesia seperti Zahirah MacWilson, Nazim Othman dan Laudya Cynthia Bella.
Sebaik konsert berakhir, seramai 100 orang pembeli tiket VVIP dibawa ke sesi Meet & Greet bersama Afgan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nizra Production Sdn. Bhd., Nik Iruwan Nik Izani, menyifatkan kejayaan konsert itu menyuntik semangat beliau untuk terus menghasilkan lebih banyak konsert antarabangsa berskala besar. Beliau juga amat menghargai sokongan peminat di Malaysia khususnya peminat setia Afgan terhadap konsert ini.










