PUTRAJAYA 3 Nov. – Majlis Presiden Pakatan Harapan akan menganjurkan satu Majlis Makan Malam bagi mengutip dana untuk parti tersebut pada 9 Disember di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sebagai sebuah parti politik, ia memerlukan wang namun sejak Kerajaan Pakatan Harapan memerintah ramai bimbang duit kepada parti politik adalah rasuah.
“Jadi kita bincang adakan majlis makan malam, tetapi mereka yang membeli kerusi untuk majlis itu tidak akan mendapat layanan istimewa,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di sini hari ini.
Dr. Mahathir seterusnya memberitahu, kerajaannya akan mempertahankan Belanjawan 2019 meskipun banyak pihak yang mengkritik.
“Banyak yang berpendapat bajet (Belanjawan) 2019 ini adalah kecil kerana kita menghadapi masalah kewangan, tetapi dapat juga kita membesarkan bajet ini walaupun ramai yang kata itu bukan bajet besar.
“Kita dapat bantuan sikit daripada Petronas yang sanggup memberi dividen RM30 bilion, walaupun RM30 bilion itu banyak, kita harus ingat hutang kita lebih daripada 1,000 bilion (RM1 trillion),” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










