MAHA 2018: Melaka sasar jualan RM1.3 juta - Utusan Malaysia

MAHA 2018: Melaka sasar jualan RM1.3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

MELAKA 1 Nov. – Kerajaan negeri menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan kutipan jualan sebanyak RM1.3 juta diperolehi 42 usahawan dan syarikat negeri ini yang akan menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 bermula pada 22 November hingga 2 Disember depan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, angka itu berdasarkan kepada anggaran RM678,000 hasil jualan yang bakal diperolehi FAMA dan kira-kira RM640,000 hasil jualan dan pemadanan perniagaan yang diterima Pavilion negeri ini sepanjang 11 hari MAHA 2018 berlangsung.

“Antara inisiatif yang dilakukan FAMA negeri bersama kerajaan negeri adalah mengadakan Road To MAHA 2018 menjelang 21 hari acara itu dan Melaka akan membawa sebanyak 42 usahawan untuk memperkenalkan produk-produk negeri ini bukan sahaja bagi pasaran tempatan malah untuk menembusi peringkat antarabangsa.

“Jika pada acara MAHA tahun lalu, Melaka memperoleh kutipan jualan kira-kira lebih RM200,000 tetapi kali ini saya percaya dengan peningkatan jumlah usahawan dan produk yang dipamerkan saya yakin sasaran julah jualan itu mampu dicapai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan `Road to MAHA 2018′ melibatkan kesemua usahawan yang akan menyertai acara tersebut anjuran FAMA negeri di pekarangan Dewan Seri Negeri di Ayer Keroh di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee; Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan FAMA, Mansor Omar dan Pengarah FAMA Melaka, Che Samudin Hasan.

MAHA 2018 dianjurkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melibatkan 35 rakan penaja dengan jumlah tajaan hampir RM5.5 juta dan akan diadakan di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang, Selangor bertemakan ‘Makanan Kita, Masa Depan Kita.’

Pameran tersebut dijangka menarik lebih 3.5 juta pengunjung menerusi pelbagai aktiviti termasuk 13 pavilion negeri, 501 juadah popular, jualan segar 11,111 produk dan banyak lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini