SHAH ALAM 4 Nov. – Langkah kerajaan memperluaskan kawasan larangan merokok pada tahun hadapan disifatkan amat positif untuk memastikan kesihatan awam terpelihara.

Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Pusat Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Sungai Buloh, Dr. Ahmad Kusyairi Khalid berkata, golongan perokok pasif akan terkesan dengan perokok aktif di sekeliling mereka jika tiada kawalan melepaskan asap rokok.
“Jumlah pesakit yang melibatkan asap rokok sentiasa bertambah setiap tahun, tidak kira perokok tegar atau ahli keluarga mereka.
“Kementerian Kesihatan sendiri telah menggariskan keburukan tabiat merokok yang menyebabkan kematian dalam kalangan rakyat negara ini,” katanya kepada Utusan Online di sini, hari ini.
Menurutnya, hasil kajian Kementerian Kesihatan pada 2017 menunjukkan kerajaan terpaksa menanggung beban kos rawatan sebanyak RM7.4 bilion pada 2025.
Mengulas mengenai langkah kerajaan memperkenalkan cukai untuk bahan minuman bergula dengan kadar berlebihan, Ahmad Kusyairi menyifatkan sebagai langkah tepat.
“Sebagai seorang doktor, kita sentiasa menasihati pesakit untuk menjaga pemakanan terutama melibatkan makanan bergula, bergaram dan berminyak.
“Apabila pemakanan tidak dijaga maka gejala seperti obesiti dan penyakit tidak berjangkit termasuk kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi dalam darah,” katanya.
Jelasnya lagi, lama kelamaan pelbagai penyakit seperti sakit jantung, buah pinggang malahan kanser melibatkan telinga, hidung dan tekak boleh berlaku. – UTUSAN ONLINE











