SEREMBAN – Sebuah lori membawa muatan roti jenama Gardenia terbakar di bulatan Bukit Chedang di sini awal pagi tadi.
Kepala lori tiga tan berkenaan hangus, namun bahagian-bahagian badan lori sempat diselamatkan oleh pasukan bomba.
Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Md. Munawir Md.Yusoff berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.40 pagi.
“Lori Gardenia itu dalam perjalanan dari Rasah untuk menghantar roti ke pasar raya NSK Seremban 2.
“Bagaimanapun, bahagian enjin lori itu didapati mengeluarkan asap apabila tiba di tempat kejadian.
“Pemandu, Zaidi Zakaria, 37, sempat menghentikan lori untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.
Md. Munawir berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada pukul 5.56 pagi dan tiba di lokasi tiga minit kemudian.
Menurutnya, seramai tujuh pegawai dan anggota Bomba dan Penyelamat Seremban bersama sebuah jentera dikerahkan memberi bantuan.
Jelas beliau, pihak bomba mengambil masa lima minit untuk mengawal kebakaran sebelum padam sepenuhnya dalam tempoh 19 minit.
“Roti yang terdapat dalam lori itu tidak terbakar. Jumlah roti dan nilai kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – K! ONLINE










