GENEVA 15 Nov. – Sebutir loket mutiara bertatahkan berlian yang pernah dimiliki Ratu Perancis terakhir, Marie Antoinette sebelum beliau dibunuh ketika era revolusi Perancis dijual pada harga AS$36 juta (RM151 juta) dalam acara lelong semalam, sekali gus mengatasi sasaran nilai jualan sebelum ini.
Acara lelong yang dijalankan oleh Sotheby’s itu diadakan di sebuah hotel mewah di tepi Tasik Geneva, menyaksikan kira-kira 10 koleksi barang kemas peribadi milik Antoinette termasuk yang tidak pernah ditunjukkan kepada umum selama dua abad dilelong.
Kesemua 10 barang kemas tersebut yang pada mulanya dianggarkan mencatat jumlah jualan AS$3 juta (RM12.6 juta) berjaya dijual AS$43 juta (RM180 juta).
Sebutir kerongsang berlian milik Antoinette juga dilelong pada nilai AS$1.75 juta (RM7.3 juta).
Menurut sumber, pada petang sebelum Antoinette dipenjara dan dibunuh, beliau menghabiskan masanya dengan memakai semua barang kemasnya sebelum disimpan ke dalam sebuah kotak kayu.
Pada 1972, keluarga diraja Perancis dipenjara di Paris, menyaksikan Antoinette dan suaminya dihukum bunuh setahun selepas itu manakala anak lelaki mereka berusia 10 tahun mati dalam tahanan.
Hanya anak perempuan Antoinette, Marie Therese terselamat. Beliau kemudian dihantar ke Austria pada 1976 dan semua barang kemas milik Antoinette diberikan kepadanya.
Therese kemudian menyerahkan barang kemas tersebut kepada anak buahnya dan mengambil seorang anak angkat perempuan. – AFP











