KUALA LUMPUR 11 Nov. – Sebanyak lima kenderaan ditenggelami air sedalam satu meter akibat banjir kilat di terowong Jalan Tun Razak menghala ke Jalan Kia Peng, di sini petang tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Nordin Pauzi berkata, pihaknya yang tiba di lokasi kejadian menyelamatkan lima mangsa terbabit.
Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 5.56 petang tadi.
“Sejumlah tujuh anggota dari Balai Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak diarahkan ke lokasi.
“Di lokasi, terdapat lima buah kenderaan termasuk sebuah lori terperangkap dalam terowong itu akibat banjir kilat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Nordin memberitahu, hanya sebuah kereta dinaiki lima mangsa terperangkap berjaya diselamatkan.
“Ketika kami tiba, didapati pemandu kereta terbabit berada di atas bonet keretanya selepas terperangkap akibat banjir kilat.
“Kesemua mangsa berjaya dibawa keluar ke lokasi selamat dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku ,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










