Lima lelaki termasuk seorang Nigeria ditahan, dadah bernilai RM500,000 dirampas - Utusan Malaysia

Lima lelaki termasuk seorang Nigeria ditahan, dadah bernilai RM500,000 dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Polis Selangor telah menahan lima lelaki termasuk seorang warga Nigeria dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM481,000 dalam lima serbuan di sekitar Lembah Klang sejak 2 November sehingga Isnin lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Selangor, Superintendan R. Sundralingam berkata, bertindak atas maklumat awam, serbuan pertama dilakukan ke atas sebuah kereta Volkwagen Passat di sebuah kondominium di Kajang pada Jumaat lalu, kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Katanya, hasil pemeriksaan di dalam kereta berkenaan telah menjumpai satu butang di dalam ruangan kotak kecil tempat simpanan barang di sebelah stereng kereta.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selepas ditekan butang tersebut bahagian tempat sandar kerusi belakang telah terbuka dan polis menjumpai satu beg yang mengandungi empat bungkusan plastik lutsinar berisi 4 kilogram (kg) dadah jenis ketamin.

“Nilai keseluruhan rampasan bernilah RM199,750 dan ia dipercayai untuk pasaran tempatan. Polis juga menahan seorang lelaki berusia 40 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Perak dan suspek direman selama tujuh hari sehingga hari ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sundralingam berkata, modus operandi yang digunakan sindiket itu ialah dengan memasukkan dadah ke dalam ruangan khas dibelakang tempat duduk bahagian belakang kereta.

Sundralingam berkata, dalam serbuan kedua di kawasan tempat letak kereta di Puchong pada hari yang sama, pihaknya telah merampas 22 botol berpelekat kuning bertulis ‘Natssbee Honey Lemon’ yang diisi 11 liter dadah jenis ecstacy.

Katanya, pada serbuan berkenaan, pihaknya juga telah menahan seorang lelaki berusia 26 tahun yang tidak bekerja selain merampas satu peket plastik berisi 0.88 gram Ketamin. Hasil keseluruhan rampasan dadah bernilai RM36,600.

“Dalam serbuan ketiga di sebuah pangsapuri di kawasan Petaling Jaya pada Sabtu lalu, polis telah merampas beberapa peket plastik mengandungi ketulan yang disyaki ganja seberat 545 gram bernilai RM1,360.

“Kita turut menahan dua lelaki berumur 19 tahun yang tidak bekerja. Hasil semakan kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod lampau dan dadah dipercayai dijual berdasarkan permintaan seperti majlis tertutup dan di pusat-pusat hiburan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sundralingam berkata, bertindak atas maklumat orang awam, sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik telah melakukan intipan selama dua hari di satu kawasan di sebuah institusi pengajian tinggi awam di Serdang.

Katanya, pihaknya telah merampas tiga batang pokok disyaki ganja setinggi 60 hingga 90 sentimeter setiap satu namun tiada tangkapan dilakukan dalam serbuan berkenaan.

Sementara itu, dalam serbuan kelima di tempat penyimpanan kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada Ahad lalu telah berjaya merampas lima bungkusan bijirin yang mengandungi 4.9kg syabu bernilai RM243,500.

Katanya, hasil susulan serta bantuan daripada ejen penghantaran, kita telah menahan seorang lelaki warga Nigeria berusia 26 tahun yang telah menuntut parcel berkenaan.

“Modus operandi sindiket ini ialah dengan menyembunyikan dadah dalam bungkusan makanan yang dihantar melalui kargo dari negara Nigeria dengan menggunakan alamat penerima palsu.

“Penerima bungkusan akan berhubung dengan ejen penghantaran bagi menuntut parcel mengandungi dadah berkenaan,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN