KUALA LUMPUR 14 Nov.- Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan tertangkapnya lima lelaki menerusi lima serbuan di sekitar ibu negara dan Selangor, kelmarin.
Susulan penahanan kesemua lelaki tersebut, dadah dipercayai heroin dan syabu bernilai RM804,000 dirampas.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, sindiket itu dipercayai bergerak aktif sejak tiga bulan lalu bagi pasaran di ibu negara, Selangor dan Perak.
Ujarnya, kesemua dadah terbabit dipercayai diperoleh dari negara jiran sebelum disimpan dalam dua kenderaan milik seorang daripada suspek.
“Sindiket pengedaran ini dipercayai menggunakan modus operandi berbeza dengan meletakkan kesemua dadah terbabit di dalam kenderaan milik individu lain bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Sebaik sahaja terdapat permintaan, dadah tersebut akan dibawa menggunakan kenderaan sama ke lokasi untuk diedarkan,”katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mazlan memberitahu, siasatan masih dijalankan dan kes di siasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE











