KUALA LUMPUR – Satu sindiket pusat panggilan judi online berjaya dipatahkan polis dengan penahanan lima lelaki tempatan dalam satu serbuan Op Dadu di sebuah apartmen di Jalan Klang Lama di sini Jumaat lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kesemua suspek tersebut berusia antara 22 hingga 28 tahun.
“Modus operandi mereka adalah dengan menggunakan mesin GSM SMS Blasting untuk menghantar mesej berbentuk iklan yang mempunyai pautan laman web judi online kepada nombor-nombor rawak setiap hari.
“Sesiapa berminat boleh pergi ke laman web itu dan memilih jenis permainan judi yang diingini. Seterusnya mereka perlu melakukan transaksi wang ke dalam akaun yang diberikan untuk mula bermain judi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mazlan menambah, berdasarkan hasil maklumat risikan polis, terdapat 10 permainan judi di dalam laman web itu dengan pemain kira-kira 20,000 orang.
“Semua transaksi dilakukan melalui akaun tempatan dan luar negara dengan sehari sebanyak RM120,000 dan sebulan mencecah RM3.36 juta.
“Pada masa kini, kita sedang mencari ketua sindiket yang menjadi dalang untuk kegiatan tersebut,” ujarnya.
Kesemua suspek direman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Pertaruhan 1953 kerana mengurus tempat pertaruhan. – K! ONLINE











