MUMBAI 12 Nov. – Seorang juruterbang kanan yang juga Pengarah Operasi syarikat penerbangan Air India berhubung hal keselamatan dan latihan penerbangan digantung lesen selama tiga tahun ekoran kegagalannya dalam dua ujian alkohol.

Arvind Kathpalia gagal dalam ujian itu sebelum melakukan penerbangan ke London dari New Delhi, semalam.
Malah ini merupakan kali kedua beliau gagal dalam ujian alkohol dan pernah digantung tugas selama tiga bulan pada 2017 kerana didakwa enggan menjalani ujian yang sama.
Arvind memberitahu Reuters, beliau akan mencabar keputusan tersebut dan mendakwa dia merupakan mangsa dalam pertikaian dalaman syarikat penerbangan itu yang dimiliki kerajaan.
Berdasarkan spesifikasi tugas sebagai Pengarah Operasi yang disandang lelaki itu pada Jun tahun lalu, beliau bertanggungjawab terhadap operasi penerbangan, pendaratan, keselamatan penerbangan dan latihan.
Namun, tidak jelas sama ada spefikasi itu masih diamalkan manakala syarikat Air India enggan memberi ulasan berhubung isu berkenaan.
Menurut laporan pemeriksaan perubatan prapenerbangan untuk alkohol yang didedahkan dalam portal berita India Today, Arvind gagal dalam ujian itu dan diisytiharkan tidak layak untuk melakukan penerbangan.
Arvind yang menafikan mengambil minuman keras berkata, dia menjalani dua ujian berkenaan dalam tempoh 20 minit dan bacaan pada ujian kedua lebih tinggi daripada ujian pertama.
“Kejadian berlaku pada pukul 1.30 petang. Hanya ‘kaki botol’ yang mabuk waktu ini. Saya akan mencabar keputusan berkenaan,” katanya.
Pada Ogos tahun lalu, Pertubuhan Juruterbang Komersial memfailkan kes ke mahkamah memohon tindakan tegas terhadap sikap dan kegagalan Arvind dalam ujian alkohol pada tahun sama.
Malah pertubuhan berkenaan turut menghantar petisyen ke mahkamah membantah pelantikan beliau sebagai Pengarah Operasi. – Reuters










