Lembah Klang dilanda banjir kilat - Utusan Malaysia

Lembah Klang dilanda banjir kilat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 11 Nov. – Beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang mengalami banjir kilat berikutan hujan lebat yang bermula kira-kira pukul 4.30 petang tadi.

Antara kawasan terjejas ialah Jalan Tun Razak, Jalan Cheras, Jalan Tun Perak, Bulatan Jalan Cheras, Jalan Loke Yew sekitar kawasan projek Razak City, Ampang dan Pandan menyebabkan beberapa kenderaan terkandas akibat kawasan terbabit dinaiki air dalam tempoh singkat.

Fenomena itu menyebabkan beberapa jalan raya menghala ke ibu kota tidak dapat dilalui terutama di Jalan Sungai Besi berdekatan Projek Razak City. 

Tinjauan Utusan Online di projek Razak City mendapati terdapat lima buah kenderaan termasuk sebuah bas antara bandar ditenggelami air berikutan limpahan air dari Sungai Kerayong di sini.

Beberapa kenderaan turut terkandas berikutan banjir yang berlaku di dalam terowong Jalan Tun Razak ke Jalan Kia Peng berhampiran Menara Tan & Tan.

Kawasan lain yang turut terjejas akibat banjir kilat ialah hadapan bangunan Risda, Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Ampang Hilir, hadapan Tesco Ampang, susur masuk dari MRR2 Pandan Indah, Taman Shamelin dan Kampung Melayu.  

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, setakat pukul 5.50 petang Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan telefon melibatkan pelbagai perkara sejurus hujan lebat bermula tadi.

“Pengguna jalan raya dinasihati menggunakan laluan alternatif di kawasan terlibat banjir bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN