TAWAU – Seorang juragan tempatan ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau kerana dipercayai cuba menyeludup keluar pakaian dan kasut terpakai ke negara jiran di kawasan laut muara Sungai Haji Kuning di sini malam tadi.
Suspek yang berusia 30 tahun itu ditahan ketika pihak PPM menjalankan Op Gelora di perairan terbabit kira-kira pukul 8.30 malam.
Pemangku Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Superitendan Abd. Nasir Othman berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot jongkong tersebut, pihaknya menemui sejumlah karung berisi pakaian terpakai.
“Selain 25 karung pakaian kami turut menjumpai sebanyak 20 karung kasut terpakai pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM45,000 di atas jongkong berkenaan.
“Selain itu, pemeriksaan lanjut mendapati juragan terbabit gagal mengemukakan lesen dan mempamerkan nombor pendaftaran bot,” katanya hari ini.
Tambah Abd. Nasir, juragan bot bersama barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967. – K! ONLINE










