SABAK BERNAM – Seorang lelaki warga asing bukan sahaja gagal menunjukkan dokumen diri yang sah, malah polis turut merampas sejumlah dadah daripadanya dalam serbuan Ops Tapis di sekitar daerah ini, Isnin lalu.
Dalam kejadian pukul 2.55 petang, lelaki warganegara Myanmar berusia 31 tahun itu yang disyaki penagih dadah ditahan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam diketuai Inspektor Muhamad Norizan Ramli.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Nor Azmi Isa berkata, ketika ditahan, suspek cuba melarikan diri namun gagal berikutan keseluruhan kawasan berkenaan telah dikepung.
“Hasil semakan polis mendapati suspek memiliki tiga paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis syabu seberat 28.28 gram bernilai RM500,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Mesyuarat, IPD Sabak Bernam, di sini hari ini.
Menurut Nor Azmi, hasil ujian air kencing, suspek disahkan positif dadah jenis MOP.
Katanya, suspek direman selama dua minggu bermula semalam sehingga 27 November ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – K! ONLINE










