Lelaki maut kereta bertembung lori buah-buahan - Utusan Malaysia

Lelaki maut kereta bertembung lori buah-buahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL 6 Nov. – Seorang maut manakala empat yang lain cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta dan lori membawa buah-buahan di Kilometer 8, Jalan Bahau – Kemayan dekat sini petang ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.25 petang itu, pemandu kereta jenis Toyota Camry, Yap Cha Chuen, 33, yang bekerja sebagai pemandu lori di Singapura maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, penumpang kereta yang juga isteri mangsa, Tee Lee Hwa, 29, dan dua saudaranya masing-masing berusia 38 dan 37 tahun mengalami kecederaan ringan.

“Pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan itu pula iaitu seorang lelaki berusia 31 tahun mengalami luka di muka, tangan serta kaki dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Jempol,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.

Muhd. Nur Hishamuddin berkata, siasatan awal polis mempercayai kemalangan berlaku apabila kereta yang bergerak dari arah Kemayan menghala ke Bahau memasuki laluan bertentangan apabila tiba di lokasi kejadian.

Menurut beliau, kereta dipandu Cha Chuen kemudian melanggar bahagian belakang kanan lori yang datang dari arah Bahau ke Kemayan menyebabkan kenderaan itu berpusing sebelum terhenti di bahu jalan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN