TEMERLOH 12 Nov. – Seorang lelaki maut dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta di Kampung Rumpun Makmur, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, Salman Zakaria, 39, dari Felda Kota Gelanggi 3, Jerantut meninggal dunia di tempat kejadian.
Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin, Hashnuddin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.22 pagi berhubung kejadian itu.
“Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, kita dapati seorang mangsa tersepit di bahagian pemandu kereta Hyundai Getz.
“Selepas mengeluarkan mangsa, pegawai perubatan mengesahkan dia meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Menurutnya, dua lagi mangsa dalam kereta Proton Waja yang terlibat dalam kemalangan itu mengalami cedera parah dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshah), di sini untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, sumber memberitahu, salah seorang mangsa yang cedera parah itu meninggal dunia di hospital berkenaan. – UTUSAN ONLINE










