BUKIT MERTAJAM 10 Nov. – Seorang pemuda terbunuh dalam keadaan mengerikan selepas digilis sebuah lori di susur bulatan Bukit Tengah di sini pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.35 pagi itu, mangsa Yeoh Chinn Yann, 29, menunggang motosikal seorang diri sebelum hilang kawalan lalu bergesel dengan tayar belakang lori dari arah Sungai Petani, Kedah itu dan terjatuh.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk dibedah siasat.
“Mangsa yang berasal dari Butterworth gagal mengawal motosikalnya sebelum bergesel dengan tayar belakang lori itu yang dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun dari Sungai Petani.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











