TAIPING – Seorang lelaki maut selepas dicekik seorang lelaki lain di hadapan sebuah bilik di tingkat empat sebuah premis di Jalan Panggung di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, mangsa berusia 38 tahun tersebut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas dicekik suspek berumur 27 tahun kira-kira pada pukul 10 pagi.
“Menurut keterangan seorang saksi, ketika kejadian, dia sedang tidur di dalam bilik bersebelahan bilik mangsa sebelum terjaga kerana mendengar pergaduhan antara mangsa dan suspek.
“Saksi berusia 35 tahun itu berusaha meleraikan pergaduhan tersebut namun suspek bertindak mencekik leher mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Tambah Mohamad, mangsa seterusnya mengalami sesak nafas sebelum terjatuh dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan awal mendapati, punca pergaduhan antara suspek dan mangsa adalah disebabkan masalah cemburu dan kewangan.
“Suspek ditahan di lokasi kejadian dan ditempat di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping untuk proses reman pada pagi esok,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – K! ONLINE










