JOHOR BAHRU 14 Nov. – Seorang gelandangan lelaki ditemui mati dengan kesan pendarahan di leher dipercayai ditikam menggunakan serpihan botol kaca dalam kejadian di sebuah kedai makan berhadapan stesen minyak di Jalan Besar Gelang Patah, dekat sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Puteri, Superintenden Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam kejadian pukul 7.51 pagi itu, mangsa, K.Chandrasegran, 36, dipercayai terlibat dalam pergaduhan seorang lelaki warganegara Indonesia akibat perselisihan faham.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati mangsa yang sedang tidur di atas meja di tempat kejadian didatangi seorang suspek berusia 24 tahun yang bertindak mengejutkan mangsa.
“Selepas itu saksi kejadian nampak mangsa dan suspek pergi ke kedai sebelah dan tiba-tiba terdengar bunyi benda pecah dan nampak simati berdarah di leher.
“Suspek tidak melarikan diri cuma mundar-mandir di kawasan kedai. Menurut suspek, tiada orang lain ketika kejadian hanya mangsa dan lelaki warganegara Indonesia itu sahaja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dzulkhairi berkata, suspek yang bekerja sebagai jurukimpal itu ditangkap oleh orang awam dan diserahkan kepada anggota polis.
Katanya, mangsa dipercayai maut ditikam di bahagian leher menggunakan serpihan botol kaca yang dipecahkan di tempat kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE










