Lelaki ditemukan maut rumah terbakar - Utusan Malaysia

Lelaki ditemukan maut rumah terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 3 Nov. – Seorang lelaki ditemukan maut dalam keadaan terbaring dan ditutupi bantal selepas bilik tidurnya di sebuah rumah di Lorong Pandan Indah 1/3 Perumahan Pandah Indah di sini, terbakar semalam.

Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri, Mohd. Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.12 malam sebelum tiba ke lokasi kejadian.

“Selepas operasi memadamkan kebakaran yang hanya melibatkan bilik utama rumah berkenaan, mangsa ditemukan sudah meninggal dunia dalam keadaan terbaring dan tertutup dengan bantal.

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan mayat dihantar ke Unit Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, menurut jiran mangsa yang enggan dikenali, dia tidak menyangka terdapat mangsa di dalam rumah berkenaan dan menyedarinya selepas bomba masuk melakukan pemeriksaan.

“Jiran-jiran menyedari kejadian tersebut kira-kira pukul 10.30 malam dan berusaha memadamkan kebakaran sebelum ketibaan bomba.

“Saya tidak kenal rapat dengan mangsa yang dikenali sebagai Muhamad Shuhari berusia 30-an. Saya difahamkan dia tinggal berdua bersama seorang rakan namun ketika kejadian rakannya tiada,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Difahamkan mangsa merupakan kakitangan Pejabat Tanah dan Galian negeri. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN