Lelaki didakwa rompak ibu mertua - Utusan Malaysia

Lelaki didakwa rompak ibu mertua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Seorang pe­nganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan merompak seutas rantai leher emas milik ibu mertua­nya di sebuah rumah di Bukit Kapar di sini dua ­minggu lalu.

Tertuduh, Muhamad Ayub Yusof, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah merompak seutas rantai milik Banon Madidkram, 70, di sebuah rumah di Bukit Kapar di sini pada 2 November lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda serta sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Yahya yang mengendalikan prosiding memohon agar tertuduh tidak diberikan sebarang jaminan sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon diberikan jaminan kerana perlu menanggung isteri dan lima orang anak.

Ahmad Zamzani kemudian menolak permohonan tertuduh dan menetapkan 18 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang wanita warga emas mengalami retak tulang tangan kanan serta bengkak pada pipi selepas diragut oleh menantunya di sebuah rumah di Bukit Kapar.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi itu, mangsa berusia 70 tahun itu turut kehilangan seutas rantai leher bernilai RM5,000 selepas diragut suspek.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, berdasarkan laporan oleh ahli keluarga mangsa, kejadian berlaku selepas suspek masuk ke dalam bilik tidur ­mangsa sebelum menarik rantai leher yang berada pada badan mangsa.

Beliau berkata, suspek yang menutup muka dengan sehelai kain sapu tangan kemudiannya bertindak keluar daripada pintu depan rumah sebelum melarikan diri de­ngan sebuah motosikal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×