JOHOR BAHRU 14 Nov. – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pagi tadi atas dua pertuduhan membunuh dua kenalan di Taman Ungku Tun Aminah, di sini, 1 November lalu.
Tertuduh, M. Jaykumar, 32, mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu dituduh menyebabkan kematian S.Silvaraja, 59, dan K.Kamala, 51, Blok 11, Flat Jalan Hang Jebat 14, Taman Ungku Tun Aminah pada 9.35 pagi, 1 November lalu.
Bagi pertuduhan itu, Jaykumar didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 31 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan bedah siasat, DNA dan forensik.- UTUSAN ONLINE











