Lelaki diberkas penduduk, polis selepas 15 minit meragut - Utusan Malaysia

Lelaki diberkas penduduk, polis selepas 15 minit meragut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM 10 Nov. – Tindakan seorang lelaki bersembunyi di dalam semak selepas meragut rantai emas milik seorang lelaki berdekatan Taman Nenas di sini gagal apabila ditahan polis hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, suspek berusia 33 tahun bersama seorang rakannya menaiki motosikal jenis Yamaha 125Z memintas motosikal Modenas GT100 dinaiki mangsa berumur 47 tahun sebelum meragut rantai emas milik lelaki tersebut berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keladi di sini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Ahmad Nasir Jaafar berkata, suspek kemudian melarikan diri tetapi salah seorang daripadanya ditahan orang awam 15 minit selepas itu di Taman Nenas sebelum menghubungi polis.

“Sebaik sahaja anggota polis tiba di lokasi, suspek terlepas dan melarikan diri ke kawasan semak berhampiran taman perumahan itu dan menyembunyikan diri.

“Tidak lama selepas itu anggota polis berjaya menahan suspek walaupun berlaku sedikit pergelutan dan pemeriksaaan dilakukan menemukan dua telefon bimbit dan seutas rantai emas yang diragutnya dalam poket seluar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pihak polis bertindak merampas motosikal susupek yang ditinggalkan di tepi jalan dan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di sini untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati suspek memiliki enam rekod jenayah lampau berkaitan Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan empat kes berkaitan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek sebelum ini juga pernah memiliki masing-masing satu kes berkaitan Seksyen 393 Kanun Keseksaan, Seksyen 382 Kanun Keseksaan, Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” Jelasnya.

Ahmad Nasir menambah, berdasarkan siasatan, suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu bersama seorang lagi rakannya dan usaha memburu seorang lagi suspek sedang giat dijalankan.

“Siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN