Lebih 1,500 peserta berhimpun tolak iktiraf ICERD - Utusan Malaysia

Lebih 1,500 peserta berhimpun tolak iktiraf ICERD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Nov. – Dianggarkan lebih 1,500 orang berkumpul di sekitar pekarangan Masjid Jamek, Kampung Baru di sini membantah pengiktirafan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Peserta himpunan aman yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wakil parti politik dan aktivis sosial berkumpul mulai 12.30 tengah hari, sambil melaungkan penentangan  terhadap deklarasi itu yang dianggap bakal menggugat kepentingan agama dan menghakis hak bumiputera.

Setelah lebih sejam berhimpun, para peserta dilihat mula berarak menuju ke pusat membeli-belah Sogo, di Jalan Tunku Abdul Rahman sambil dikawal petugas keselamatan sukarela untuk kelancaran lalu lintas.

Himpunan aman digerak hasil inisiatif bersama pihak berkepentingan, turut disertai Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Naib Ketua Pemuda, Shahril Hamdan serta Ketua Pemuda Pas, Muhamad Khalil Abdul Hadi dan barisan Exco daripada kedua-dua parti politik itu.

Perarakan peserta mengambil masa hampir 35 minit sebelum tiba di Sogo sambil kedengaran laungan ‘bantah ICERD’ dan ‘pertahankan kepentingan Melayu’ sambil mengibar kain rentang dan pelbagai sepanduk tertera seruan bantahan sebagai memprotes usaha pihak tertentu mengiktiraf ICERD.

Keadaan cuaca panas tidak menjadi halangan bagi para peserta himpunan yang dilihat teguh pertahan pendirian mereka menolak sebarang undur dan campur tangan luar yang menggugat hak kepentingan agama dan bangsa Melayu di negara ini.

Rata-rata peserta turut menzahirkan kebimbangan mereka bahawa usaha pihak tertentu yang berselindung di sebalik topeng hak asasi manusia itu, adalah menggugat setia perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan bagi mendesak perubahan dasar ke arah lebih terbuka dan samarata.

“Mereka ini sebenarnya tidak senang dengan hak dan kepentingan Melayu dan Islam yang jelas dilindungi dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jadi, ada saja cara diguna termasuk melalui konvensyen antarabangsa mendesak kerajaan lebih terbuka dan selari hak asasi manusia dalam dunia tanpa sempadan,” kata salah seorang peserta yang mahu dikenali sebagai Mat Taskin dari Perak. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN