Latihan juruterbang 737 Max tidak cukup? - Utusan Malaysia

Latihan juruterbang 737 Max tidak cukup?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA 13 Nov. – Para penyiasat Indonesia mengarahkan agar juruterbang pesawat Boeing 737 Max menjalani lebih banyak latihan selepas mendapati situasi dihadapi oleh Lion Air yang terhempas di perairan Tanjung Karawang pada bulan lalu tidak dimuatkan dalam manual pe­nerbangan pesawat berkenaan.

Ketua Suruhanjaya Ke­selamatan Pengangkutan Kebangsaan Indonesia (KNKT), Soerjanto Tjahjono berkata, Indonesia akan memperkasakan keperluan latihan juruterbang susulan hasil siasatan terkini.

“Kami tahu, berikutan insiden ini, kami tahu kami memerlukan latihan tambahan,” katanya.

Sementara itu di Dallas, dua kesatuan penerbangan Amerika Syarikat (AS) memaklumkan, juruterbang AS juga tidak menyedari mengenai sebarang potensi risiko yang bakal dihadapi ketika menerbangkan pesawat Boeing terbabit.

Kapten 737 Max dan jurucakap Persatuan Juruterbang Bersekutu (APA), Dennis Tajer berkata, kesatuannya hanya dimaklumkan mengenai sistem baharu Boeing yang dipasang pada pesawat 737 Max untuk membantu mengawal kepala pesawat dalam sesetengah situasi selepas nahas terbabit.

“Ini merupakan maklumat yang tidak dimaklumkan kepada kami sewaktu latihan atau mana-mana manual atau bahan,” katanya.

Pendedahan itu memberi gambaran lebih jelas berhubung perkara-perkara di bawah pemerhatian ketika para penyi­asat bersedia untuk mengeluarkan laporan awal berkaitan nahas tersebut pada 28 atau 29 November ini.

Setakat ini, perhatian orang ramai lebih tertumpu kepada masalah penyelenggaraan teknikal termasuk kegagalan sensor untuk mengesan pesawat terbang pada sudut yang betul mengikut arus udara semasa dan mengelakkan pesawat daripada tidak stabil. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN